Jika ke laut sudah tentulah kita mengharapkan hasil yang berbaloi dengan belanja yang di keluarkan. Selain kelengkapan dan ketentuan Ilahi peranan tekong turut menjadi faktor utama.
Ada berbagai jenis tekong yang pernah saya ( dan kita semua ketemui ). Ada yang bersikap professional dengan kerja masing-masing dan ada yang seakan sekadar ingin mendapatkan upah.
Peristiwa 1
Kami pernah turun ke Tolai dan sekitar Pulau Tioman tidak beberapa lama dahulu. Trip dua hari satu malam. Dengan bot yang dahulunya bot pukat jerut dan agak selesa. Tekongnya amat rajin mencari spot-spot menarik sehingga kami penat melayan ikan yang pelbagai. Tapi sudah lumrah pemancing walau penat macam manapun selagi di atas bot joran tetap di hulur selagi berpeluang. Tekong bukan sahaja ramah dan rajin malah sanggup memberi tunjuk ajar kepada kami teknik memancing spesis bagak dengan betul. Maklumlah ada di kalangan kami yang masih baru waktu itu dan mengikat perambut macam memancing lais di sungai..hi..hii.
Masak-memasak beres! Semuanya sudah masuk dalam harga pakej dan kami benar-benar dilayan seperti VIP walaupun ada yang berpinau mata akibat mabuk laut.
Semasa dalam perjalanan balik ke pengkalanpun tekong tersebut masih memberi peluang kepada kami untuk memancing sepuasnya dengan kaedah berhanyut di pinggir pulau berbatu mencari kerapu dan merah. Hari itulah kebanyakan daripada kami surrender untuk memancing akibat keletihan dan mengajak tekong terus pulang ke pengkalan.
Peristiwa 2
Saya bersama geng team tegar ke Kuala Terengganu pada tahun lepas. Bersama Gemuk , Sha , Ikhwan dan Pak Husin kami pertama kali turun memancing ke sana. Sewa botnya hanya RM400 untuk trip dua hari satu malam. Amat murah jika dibandingkan dengan di Rompin atau Penyabung, Johor.
Sebaik sahaja menaiki bot kami terkejut dengan keadaan bot yang amat bersih dan cantik!. Di luar kebiasaan pada pengalaman kami. Tidak ada gumpalan pukat yang hanyir di dek , tidak ada bubu atau tali yang berselerak seperti di tempat lain. Malah lantai bot yang dicat biru itu amat bersih sehingga kami boleh bersila dan berbaring tanpa rasa gatal di serata badan. Satu lagi kelebihannya di bot tersebut kami lihat berbelas 'life jacket' bersusun cantik di dalam kabin dan amat mudah untuk diambil jika berlaku sebarang kecemasan. Itulah yang sepatutnya ada di dalam bot pancing yang membawa 'manusia hidup' ke laut.
Walaupun pada trip tersebut hasilnya agak kurang tapi kami berpuashati dengan servis dan fasiliti yang disediakan oleh tekong untuk pelanggannya. Ini barulah professional namanya.
Peristiwa 3
Pada tahun lalu juga kami ke laut dengan sebuah bot kayu di toot (terpaksa di rahsiakan). Yang pertamanya di telefon deal harga sekian-sekian dan memancing agak jauh ke laut. Alih-alih tiba masanya sambil minum di pengkalan lain pula ceritanya. Dengan alasan minyak mahal tekong meminta tambahan bayaran RM100 untuk meneruskan trip jika tidak ..kensel. Mak oii kita dah sampai ke sini mahu tidak mahu terpaksalah mengalah walaupun sudah ada team members yang merungut. Kemudian perginya pulak tidak boleh jauh ke laut dengan alasan lesen mati lah , angin lah dan sebagainya.
Dari situ sudah terbit rasa semacam dalam hati kami berkenaan trip kali ini. "Dapat kumpau dan melancong je lah jawabnya kita hari ini.." bisik seorang rakan. Pendek cerita akhirnya kami dapat jugak ke laut pada hari tersebut walaupun tekong tersebut kelihatan tidak berapa `mesra'. Bercakap lebat sambil menceritakan kejayaannya membawa trip-trip yang berjaya sekurang-kurangnya menghapuskan prasangka awal kami terhadapnya.
Setelah sejam perjalanan bot berhenti di tempat yang katanya tukun untuk mencari umpan kembong,tamban dan selar. Tapi setelah sejam mengenjun apollo hanya beberapa ekor anak tamban yang naik sedangkan tekong sudah mula mengemas tapak untuk berbaring.Kami memintanya untuk ke unjam tapi di jawabnya minyak tidak cukup untuk pergi jauh. Penyudahnya bot di bawa parking entah ke mana dan diapun berdengkur!!! Melengunglah kami memancing hingga ke pagi akibat tekong berserta awak-awaknya tidur. Makan? Masak Sendiri... Ikan? adalah anak kunyit dan kerapu ane (maklumlah memancing atas pasir dan dua tiga ketul batu!!)
Begitulah keadaanya hingga ke pagi dan esok paginya keadaan tetap tidak berubah. Jika diajak berpindah ada saja alasannya sedangkan ada juga di kalangan kami yang mahir dengan selok-belok tempat tersebut.
Akhirnya kami balik awal dengan hati berbuku dan tidak puashati. Duit dah bayar habis pada awalnya dan tekong ingin cepat ke pengkalan untuk membawa trip yang lain.
Sehingga kini jika di ajak untuk ke laut team members akan bertanya dahulu siapa tekong? "kalau tekong/bot yang dahulu biar tidak pergipun tidak apa!"
.....................................................................................................
Itulah cerita tekong bot yang majoriti daripada kita mengalaminya. Ada yang terlampau bagus , bagus dan teruk!
Lainkali jika ingin ke laut siasat betul-betul siapa tekongnya dan guane kerenahnya. Jika tidak al-kumpaulah jawabnya.
No comments:
Post a Comment