Berudang di sungai Rompin

Setelah kian lama aku tidak turun memancing baik ke laut mahupun ke sungai kesempatan keemasan datang beberapa hari yang lepas. Tanpa ada perancangan awal aku menghubungi ustaz Joe sahabat yang selalu bersekali dengan aku berudang. Tanpa banyak soal dia yang memang otai dalam bab berudang ni terus aje on!

Maklumat awal yang diterima agak baik. Menurut cerita penduduk tempatan udang galah telah mula meragut umpan walaupun keadaan air sungai Rompin belumlah pulih sepenuhnya akibat hujan monsun. Ada yang sudah boleh membawa pulang berkilo udang sekali turun dan itu satu petanda baik bagi kami.

Seperti kebiasaan selepas subuh jam 0630 pagi kami sudahpun membungkus sarapan di kedai makan. Bawa bekalan berbungkus kekadang lebih menjimatkan masa dan wang jika kena bajetnya. Nak suruh orang rumah masak maklum ajelah anak-anak kecil dah mula celik mata jam 6 pagi.

Jam 730 pagi kami sudahpun memunggahkan peralatan pancing ke dalam bot di Bangkung. Kali ini kami cuba berjudi nasib di sini memandangkan maklumat awal udang mula bermain di sini kebelakangan ini. Berbekalkan umpan cacing dan lima batang joran setiap seorang kami meredah kesejukan pagi ke lubuk yang pertama berhampiran pengkalan bot.

`strike'

Tidak sampai lima minit salah satu joran aku telahpun bergetar keras petanda ditarik sesuatu di bawah sana. Dengan adrenalin yang kian memuncak akibat sekian lama tidak melayan udang dengan penuh perhatian aku menaikkan udang tersebut. Berjaya! Seekor udang saiz dara menjadi pembuka tirai pertama aku musim ini. Belumpun sempat menyimpan udang tersebut joran lain pula bergetar dan keadaan mula sibuk apabila us Joe juga menghadapi keadaan yang sama. Benarlah kata us Joe " Udang ni kalau dia ada tak payah tunggu lama-lama...lima minit cukup untuk membuktikannya"

Hampir 10 ekor udang saiz dara yang berjaya kami naikkan di spot pertama tersebut. Hari sudah semakin cerah dan kelihatan dari jauh ramai para pemancing yang mula turun dari pengkalan walaupun hari ini ialah hari bekerja. Kami berpindah dari satu lubuk ke satu lubuk dan keadaan sudah tidak lagi segalak tadi. Kelihatan bot-bot lain juga seakan hilang arah dalam mencari port yang berbaloi.

Kami cuba untuk berpindah menghilir sungai dan dengan enjin di tarik oleh lapan ekor kuda semuanya pantas(8horsepower). Dan lokasi baru ini rupanya tidak mengecewakan. Seekor demi seekor udang berjaya kami naikkan sehingga kadang-kadang rokok di tangan mati kelaparan..ha..ha.

Semakin kami berpindah ke hilir semakin besar saiz udang yang berjaya kami naikkan. Us Joe mula-mula sekali berjaya menaikkan sepit biru atau 'jongkong' panggilan pemancing di sini. Joran kecilnya melengkung U akibat diasak oleh si galah tersebut. Aku hanya berkongsi kegembiraan dan mengharap turn aku pulak selepas ini.

Hujan

Tompok-tompok hitam mula kelihatan di atas sana walaupoun pada awalnya keadaan cerah. Jam 11 pagi tanpa didapat ditahan-tahan hujan turun denga lebatnya. Us joe yang memang sudah kebiasaan membawa baju hujan dalam begnya bertudung litup dalam hujan tersebut. Hanya bahagian matanya sahaja yang dibuka untuk memantau jorannya. Sementara aku mendapat pengajaran yang pertama hari ini. Baju hujan memang sengaja ditinggalkan kerana beranggapan musim monsun sudahpun berakhir. Lencunlah aku di dalam bot dan hanya telefon , kamera dan beg duit yang berjaya diselamatkan di dalam beg kanvas. Walaupun lencun dan kesejukan perjuangan tetap diteruskan. Alang-alang memancing biar basah!hi..hi..

Walau dalam keadaan hujan sekalipun udang di sungai Rompin tetap menjamah umpan. Barangkali terlampau lama mengidam cacing akibat banjir kut! Hujan reda , panas dan kembali hujan berulang kali menjelang ke petang. Sementara aku terus terus diluluhawa oleh alam.ha..ha.

Etika

Kelihatan semakin banyak bot pemancing yang turun ke sungai Rompin sekarang. Ramai orang banyaklah ragamnya. Ada yang memandu bot seperti merempit di jalanraya tanpa menghiraukan keselamatan pemancing yang lain. Yang agak terkilan ialah apabila melihat perahu-perahu jalur yang dinaiki orang asli yang memancing terpaksa berhimpit ke tebing setiap kali 'mat rempit' yang kebanyakannya bukan orang tempatan ini lalu. Barangkali mereka sukar memahami keadaan susah-payah orang lain.

Begitu juga dengan tangkapan udang yang kecil. Ada yang memakan pancing itu hanya sebesar jari kelengking dan tangkapan sebesar ini haruslah dilepaskan kembali ke habbitatnya agar terus berkembang-biak. Sampai bila populasi udang galah di sini akan terus ujud jika pemancing hanya mengira kepentingan perut semata-mata tanpa memikirkan keperluan generasi akan datang.

'Jongkong'

Di sebelah petang barulah saya berjaya menaikkan si jongkong!. Labuhan umpan dibawah bot rupanya boleh mendatangkan untung. Dapatlah kami merasa tarikan si galah yang sebenar pada trip tersebut.

Menjelang petang sewaktu air mula pasang sekali lagi membuatkan kami tidak menang tangan. Udang saiz dara yang majoritinya memakan umpan pada hari tersebut membuatkan kami terpaksa mencatu umpan yang kian surut. Seekor cacing untuk dua mata kail. Bolehlah asal ada bau cacing.

Kami naik semula ke Pengkalan sebelum maghrib dengan tangkapan yang boleh di kira lumayan. Anggaran tiga kilo lebih untuk dua orang boleh dikira `mengena' memandangkan masih di luar musim dan air sungai belum pulih sepenuhnya.

*Kepada kaki-kaki pancing yang ingin bertukar-tukar pendapat bolehlah mengubungi penulis melalui email jemohid@gmail.com.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 jemuduk.blogspot.com |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.

Share |