Dari mana datangnya ikan?

Dalam perjalanan memancing ke Sungai Meranti , Rompin dua hari yang lepas Pok Su menanyakan saya dan Sani dari manakah datangnya ikan di lopak-lopak yang selama ini kering kontang tiba-tiba apabila datang hujan maka muncul pula si ikan di dalamnya.Dan setiap dari kita pasti pernah tertanya-tanya hal ini kan? Sekali-sekala dapat soalan cepumas macam ni seronok jugak. Perkara ini jarang difikirkan oleh kaki pancing yang ralit memancing tanpa mahu memikirkan punca datangnya ikan di sesetengah tempat.

Pertanyaan Pok Su itu kami jawab dengan pelbagai andaian yang mampu terlintas dek akal.

1) Orang yang letak,
Faktor ini walaupun kurang kebarangkaliannya namun masih perlu dipertimbangkan. Mana tahu si polan yang dapat memancing ikan kecil di mana-mana spot yang berdekatan mencampakkan ikan itu di sini untuk C&R atau apa-apa tujuan.

2) Binatang yang bawa ,
Burung atau katak yang membawa benih atau telur ikan ke sini tanpa ia sedari. Telur ikan melekat di badan atau kaki dari tasik lain kemudiannya meninggalkannya di sini semasa ia berendam atau minum air. Alasan ini lebih lojik dan mudah diterima akal.

3) Pernah saya terlihat rencana dalam discovery channel yang ikan keli atau yang seumpama dengannya boleh hidup memerap dalam tanah untuk jangkamasa yang panjang walaupun tanpa setitik air pun! Barangkali tempat itu asalnya kolam atau lopak kemudian kemarau kontang tapi apabila hujan turun dan air bertakung semula maka iapun keluar dari tempat ‘pertapaan’nya. Hi..hi..cam beruang yang berhibernate!

4) Alasan paling lojik dan simple ialah itulah pekerjaan Allah.
Sesuatu yang amat payah dek akal dan kemampuan kita manusia tapi amat mudah bagi Allah yang Maha Berkuasa. Jadi kata Allah maka jadilah ia...
Pok Su mati kutu selepas itu..ha..ha..!

*kalau ada kengkawan yang nak menjawab soalan tersebut pun boleh jugak!

Jurnal pancing II

5.17 ptg - Saya masih di rumah. Sebentar tadi Sha sms " Ada d Mane?"...Saya jawab ringkas "umah. Tggu Gmuk dtg". Sebenarnya kami masing-masing bekerja hari ini. Perancangannya kami akan bertolak sebaik sahaja habis kerja masing-masing. Oleh kerana kereta saya masih di bengkel terpaksalah gemuk mengambil saya di rumah.

5.30 - Tempat pertemuan di tukar ke rumah saya untuk menyusun peralatan di dalam dua buah kereta.5.55 - Bertolak ke destinasi. Masing-masing membawa set pancingyang terbaik. Gemuk yang paling bergaya dengan set ribuan ringgitnya. Maklumlah tokey JCB! Awal perjalanan perbualan antara kami agak rancak. Saya dan Sha menaiki kereta Atan jaip sementara Pok Su menemani Gemuk. Sha dan Atan begitu rancak bersembang dari satu topik ke satu topik yang berkisar tentang kisah pancing masing-masing.

Sekali-sekala terdengar Atan jaip menyanyikan lagu..." Ya Ali Ya Ali Baba " sambil memandu. ha..ha..senang hati nampak!Kami sampai ke Rompin satu jam kemudian untuk topup barangan pancing seperti apollo, mata dan perambut. Pok Su paling banyak shopping. " Buat stok", katanya. Dengan pilihan yang kurang serta harga yang agak mahal membantutkan selera saya untuk menyimpan stok. Cukuplah mana yang perlu. Selesai shopping di situ kami membeli pula bekalan ration dan umpan udang hidup.

Akhirnya kami sampai ke Chalet Kampung Merchong jam 10 malam!Sebelum bertolak saya dan Pok Su berhajat untuk ke Kuala bagi tujuan casting jika sempat tapi memandangkan hari sudah larut kami tangguhkan saja hasrat tersebut.Chalet ini terletak betul-betul ditepi sungai Merchong. Binaannya agak tersusun dengan sistem pengurusan yang baik. Sementara jetinya hanya terletak di belakang chalet yang menempatkan berbelas biji bot pelbagai saiz.

Masing-masing sudah penat. Biliknya yang kemas serta cantik ditambah pula dengan air-condition membuatkan mata mula layu. Atan Jaip mula sekali membaringkan diri dan Pok Su yang paling cepat bedengkur.Kami melayan sembang pelbagai cerita pancing , cerita politik hinggalah ke cerita hantu pocong! Ha..ha...

1.00 pagi - ZZZZzzzzzzz!..............................................................................

" Kick-Off "


6.15 - Masing-masing sudah bangun dan membersihkan diri. Saya sempat menjenguk ke Kuala di belakang chalet. Airnya sedang menyorong pasang dan cuaca kelihatan sangat cantik. Laut kelihatan tenang dan kurang berangin."Ini sudah cantik!"..bisik hati saya.
Selesai solat Subuh kami berkereta ke kedai yang berdekatan untuk sarapan." Kedai di chalet lambat buka", kata Gemuk. Sesampai di kedai makan kelihatan tekong kami hari ini , mr Zamri sudah menunggu. Sambil pekena nasi minyak beliau sempat bercerita tentang spot ikan merah yang begitu frenzy semalamnya. Akibatnya masing-masing sudah tidak begitu selera makan kerana tidak sabar untuk berjuang.

8.00 pagi - Kami sudahpun berada di jeti dan sedang memindahkan alatan ke dalam bot. Bot gentian kaca berukuran lebih kurang 27 kaki dengan kekuatan enjin 85hp kelihatan gagah dan meyakinkan. Bot yang selesa dan bersih sekali lagi mendapat pujian daripada kami. Bot terus meluncur membelah kuala sebaik sahaja semuanya selesai. Keadaan cuaca amat baik dengan alunan ombak yang minimum.

Perjalanan ke spot pertama mengambil masa 45 minit dari jeti. Labuhannya adalah di sekitar tukun tayar yang sudah terbukti dengan pelbagai tangkapan sebelum ini. Ebek , Merah , Kaci , Mayong , Haruan Tasik ,Kerapu antara yang sempat diceritakan tekong Zamri. Dengan menggunakan GPS beliau membuat labuhan yang tepat di atas tukun.

Masing-masing sibuk mencampakkan umpan udang hidup yang di bawa. Ada yang cangkuk di ekor , ada juga yang cangkuk di kepala dengan ilmu pancing masing-masing. Bagi yang cangkuk di ekor tanpa terkena pada urat hitam udang boleh memanjangkan jangka hayat udang. Tapi masalahnya pada saya ikan akan menyambar kepala udang sahaja dan meninggalkan ekor yang tertancap mata terkonteng-konteng! Bagi yang cangkuk di kepala ( melalui mulut ) jika tidak kena gayanya udang lebih cepat mati tapi lebih berkesan memerangkap si ikan yang kebiasaannya menjamah kepala mangsa terlebih dahulu.

Matahari semakin meninggi dan keterikannya mula terasa. Sementara kami masih terumbang-ambing di atas bot menunggu isyarat dari pemangsa di dasar. Bot di sebelah yang kebetulannnya sampai lebih awal dari kami kelihatan sedang riuh dengan permainan tarik tali dengan si ikan. Agak lama si pemancing tersebut bertegang urat akhirnya kelihatan ebek anggaran empat kilo berjaya di sauk ke bot. Kami yang masih menjadi penonton semakin menaruh harapan tinggi dengan spot ini.

Dalam kelekaan menunggu tiba-tiba saya dikejutkan jeritan drag dari kekili shimano yang sengaja saya padankan dengan joran Protech 10-20lb saya. Melentur habis joran aksi sederhana tersebut dirembat si ikan membesit di dasar. Gaya lariannya panjang dan tekong zamri terus membuat jangkaan itu adalah larian ebek yang cuba melepaskan diri. Peluang keemasan ini tidak saya lepaskan begitu sahaja. Dengan tegangan drag yang sederhana ikan akhirnya ikan tersebut menyerah kalah. Si Ebek rupanya. Anggarannya hanyakah dua kilo lebih. Anak lagi. Tapi bolehlah menjadi pembuka selera kami pada sessi ini.

Pancing Sha kemudiannya turut menerima kunjungan si ebek namun belum sempat bermain ebek rabut dan bercempiaran lari. Kami berpindaj ke lokasi seterusnya yang agak jauh ke tengah laut. Junaman umpan ke bawah bot hanya disambar kerisi dan kerapu. Sekali-sekala di sapa si Remong. Hanya Joran Atan yang mendapat sambaran di sini tapi oleh kerana kurang bersedia ikan rabut membawa umpan udang. Keadaan kembali sunyi dan masing-masing sibuk melayan spesis 'kecil' si ane dan remong.

Setelah beberapa kali berpindah ke lokasi hot tekong Zamri keadaan tetap tidak berubah. Belum ada sambaran mencabar daripada spesis mega di dasar. Dari jauh kelihatan burung-burung berkerumun di atas kumpulan ikan Layaran yang menampakkan sirip dorsalnya. Tapi kami tidak berminat dengan si muncung pada hari ini. Hati lebih kepada ebek dan merah yang begitu galak beberapa hari sebelumnya.Menjelang petang keadaan mula berangin. Alun mula meninggi membuai bot ke kiri dan kanan. Bagi yang tidak tahan badan pada hari ini sudah ada tanda-tanda mabuk free melanda. Namun si ikan yang menjadi taruhan belum jua menggasak udang hidup yang bergedik dihujung joran.

Tekong Zamri dan Poksu masing-masing menaikkan kerapu saiz hidangan sementara yang lain hanya sibuk mengganti umpan. Ke mana hilangnya spesis merah dan ebek? Menurut tekong Zamri baru beberapa hari lepas berpuluh merah dan berbelas ebek yang berjaya ditewaskan oleh team KL yang dibawanya. Tapi hari ini ghaib entah ke mana.Menjelang 4 petang memandangkan keadaan laut yang semakin bergelora kami mengambil keputusan untuk pulang dan menamatkan misi kali ini lebih awal. Nyawa lebih penting daripada keseronokan memancing. Dalam perjalanan pulangpun bot menyenget ke kiri dan ke kanan akibat alunan ombak. Jika terlambat sikit lagi tidak tahulah bagaimana keadaannya.

4.40 petang - Berhenti seketika di muka kuala untuk memujuk si kurau namun hampa kerana aras air yang sudah terlampau surut agaknya. Tepat jam 5 petang kami tiba semula di jeti dengan selamat. Walaupun hasilnya agak kurang memuaskan namun kami tetap berpuashati dengan trip kali ini. Usaha tekong yang asyik berpindah untuk mengesan lubuk ikan harus dipuji.

Kita merancang , Allah juga merancang sedang perancangan Allahlah yang terbaik dan menjadi kenyataan! Pun begitu Gemuk mencadangkan agar trip ulangan diadakan dalam masa terdekat untuk mengatasi kekumpauan ini. Jika kena masa dan jodohnya kami akan turun lagi ke sini dalam masa terdekat!.

Mencari barangan keperluan di kedai runcti di Rompin



Makan malam open table by Gemuk. TQ Gemuk!



Jika pergi ke Rompin dan perlukan umpan hidup telefon sahaja nombaor di atas. Pak Wan , Kg Sepakat



Servis jualan udang hidup tanpa mengira masa. 50 sen seekor



Antara 'jentera' yang menjadi taruhan



Sampai di chalet terus periksa tandasnya...bersih!



Chalet kg Merchong..Dua katil,4 tilam,4 bantal,hawa dingin...RM50/malam.No telefon saya terlupa nak ambil...sorry hi..hi..



Atan jaip...siap sedia untuk beradu



Pok Su dan Sha memindahkan peralatan ke dalam bot



Jam 8 pagi di jeti




Gemuk...chief de mission!!



Kotak pancing Gemuk.Alah membeli menang memakai,



Menunjukkan teknik mencangkuk umpan hidup



Tekong Zamri menggunakan GPS untuk navigasi yang tepat



Yo! bro...what's up?? hi..hi..



Selagi ada ombak dan laut...selagi hatiku terpaut



Ebek tunggal dari trip ini

Jurnal Pancing 1

Mula dan persiapan

1.03 pagi 13 April - Saya mula mengetuk keyboard sebaik sahaja saya mengconfirmkan diri untuk turut serta dalam trip yang aka berlangsung selama dua hari ( hari ini dan besok ). Walaupun ada sedikit masalah di awalnya namun berjaya diselesaikan dengan kerjasama rakan-rakan. Lokasi kami kali ini ialah ke perairan Merchong yang terkenal kaya dengan pelbagai spesis pelagik dan demersal.
- Sekarang baru saja pulang dari kopitiam di hentian lebuhraya Muadzam Shah. Saya , Gemuk dan Poksu menghalusi perjalanan trip yang akan kami mulakan jam 5 petang ini.
- Selain kami bertiga Sha Ibam dan Atan Jaip akan turut serta melepaskan rindu yang sekian lama terpendam untuk menghirup bayu laut dan memesrai spesis bagak di laut. SMS bertalu-talu di kalangan kami seakan-akan membuat satu sidang konferens secara langsung. Gitu gayanya menjelang `sepak mula'..hi..hii.
- Persediaan dari pump oxygen , kutipan yuran dan peti penyejuk beku semuanya di muktamadkan di kedai kopi tadi.
- Perjalanan trip : Kami akan ke laut jika diizinkan Allah jam 8 pagi esok. Tapi bertolak awal pada petang ini kerana ingin menduga MJ di Kuala Merchong! Siakap yang rabut semasa meragut pancing Pok Su tempohari benar-benar membuatkan Pok Su tidak senang duduk. Sementelah pula saya dan rakan-rakan boleh menguji tabiat pemakanan siakap di sini sewaktu malam.
- Penginapan pada malam ini disediakan oleh pengusaha chalet yang juga pemilik bot yang akan kami sewa. Both , boat and hostel in one package!.Arrange by Gemuk and sponsored by him. Hopefully! Ha..ha.

1.28 pagi - Kejap lagi nak kemas mana-mana peralatan yang patut. Dua batang joran sudah cukup. Satu set spinning dan satu set BC!..arghhh!!! ngantuk!

Bagi saya inilah kali pertama catatan jurnal pancing dibuat secara terus atau langsung semasa trip sedang berjalan. Catatan dengan cara ini harapnya lebih real dan adrenalin yang terhasil akibat teruja atau keghairahan sepatutnya dapat menghasilkan satu pengkisahan yang baik.

to be contiune....

Cerita tekong

Jika ke laut sudah tentulah kita mengharapkan hasil yang berbaloi dengan belanja yang di keluarkan. Selain kelengkapan dan ketentuan Ilahi peranan tekong turut menjadi faktor utama.

Ada berbagai jenis tekong yang pernah saya ( dan kita semua ketemui ). Ada yang bersikap professional dengan kerja masing-masing dan ada yang seakan sekadar ingin mendapatkan upah.

Peristiwa 1


Kami pernah turun ke Tolai dan sekitar Pulau Tioman tidak beberapa lama dahulu. Trip dua hari satu malam. Dengan bot yang dahulunya bot pukat jerut dan agak selesa. Tekongnya amat rajin mencari spot-spot menarik sehingga kami penat melayan ikan yang pelbagai. Tapi sudah lumrah pemancing walau penat macam manapun selagi di atas bot joran tetap di hulur selagi berpeluang. Tekong bukan sahaja ramah dan rajin malah sanggup memberi tunjuk ajar kepada kami teknik memancing spesis bagak dengan betul. Maklumlah ada di kalangan kami yang masih baru waktu itu dan mengikat perambut macam memancing lais di sungai..hi..hii.

Masak-memasak beres! Semuanya sudah masuk dalam harga pakej dan kami benar-benar dilayan seperti VIP walaupun ada yang berpinau mata akibat mabuk laut.

Semasa dalam perjalanan balik ke pengkalanpun tekong tersebut masih memberi peluang kepada kami untuk memancing sepuasnya dengan kaedah berhanyut di pinggir pulau berbatu mencari kerapu dan merah. Hari itulah kebanyakan daripada kami surrender untuk memancing akibat keletihan dan mengajak tekong terus pulang ke pengkalan.

Peristiwa 2

Saya bersama geng team tegar ke Kuala Terengganu pada tahun lepas. Bersama Gemuk , Sha , Ikhwan dan Pak Husin kami pertama kali turun memancing ke sana. Sewa botnya hanya RM400 untuk trip dua hari satu malam. Amat murah jika dibandingkan dengan di Rompin atau Penyabung, Johor.

Sebaik sahaja menaiki bot kami terkejut dengan keadaan bot yang amat bersih dan cantik!. Di luar kebiasaan pada pengalaman kami. Tidak ada gumpalan pukat yang hanyir di dek , tidak ada bubu atau tali yang berselerak seperti di tempat lain. Malah lantai bot yang dicat biru itu amat bersih sehingga kami boleh bersila dan berbaring tanpa rasa gatal di serata badan. Satu lagi kelebihannya di bot tersebut kami lihat berbelas 'life jacket' bersusun cantik di dalam kabin dan amat mudah untuk diambil jika berlaku sebarang kecemasan. Itulah yang sepatutnya ada di dalam bot pancing yang membawa 'manusia hidup' ke laut.

Walaupun pada trip tersebut hasilnya agak kurang tapi kami berpuashati dengan servis dan fasiliti yang disediakan oleh tekong untuk pelanggannya. Ini barulah professional namanya.

Peristiwa 3

Pada tahun lalu juga kami ke laut dengan sebuah bot kayu di toot (terpaksa di rahsiakan). Yang pertamanya di telefon deal harga sekian-sekian dan memancing agak jauh ke laut. Alih-alih tiba masanya sambil minum di pengkalan lain pula ceritanya. Dengan alasan minyak mahal tekong meminta tambahan bayaran RM100 untuk meneruskan trip jika tidak ..kensel. Mak oii kita dah sampai ke sini mahu tidak mahu terpaksalah mengalah walaupun sudah ada team members yang merungut. Kemudian perginya pulak tidak boleh jauh ke laut dengan alasan lesen mati lah , angin lah dan sebagainya.

Dari situ sudah terbit rasa semacam dalam hati kami berkenaan trip kali ini. "Dapat kumpau dan melancong je lah jawabnya kita hari ini.." bisik seorang rakan. Pendek cerita akhirnya kami dapat jugak ke laut pada hari tersebut walaupun tekong tersebut kelihatan tidak berapa `mesra'. Bercakap lebat sambil menceritakan kejayaannya membawa trip-trip yang berjaya sekurang-kurangnya menghapuskan prasangka awal kami terhadapnya.

Setelah sejam perjalanan bot berhenti di tempat yang katanya tukun untuk mencari umpan kembong,tamban dan selar. Tapi setelah sejam mengenjun apollo hanya beberapa ekor anak tamban yang naik sedangkan tekong sudah mula mengemas tapak untuk berbaring.Kami memintanya untuk ke unjam tapi di jawabnya minyak tidak cukup untuk pergi jauh. Penyudahnya bot di bawa parking entah ke mana dan diapun berdengkur!!! Melengunglah kami memancing hingga ke pagi akibat tekong berserta awak-awaknya tidur. Makan? Masak Sendiri... Ikan? adalah anak kunyit dan kerapu ane (maklumlah memancing atas pasir dan dua tiga ketul batu!!)

Begitulah keadaanya hingga ke pagi dan esok paginya keadaan tetap tidak berubah. Jika diajak berpindah ada saja alasannya sedangkan ada juga di kalangan kami yang mahir dengan selok-belok tempat tersebut.

Akhirnya kami balik awal dengan hati berbuku dan tidak puashati. Duit dah bayar habis pada awalnya dan tekong ingin cepat ke pengkalan untuk membawa trip yang lain.

Sehingga kini jika di ajak untuk ke laut team members akan bertanya dahulu siapa tekong? "kalau tekong/bot yang dahulu biar tidak pergipun tidak apa!"
.....................................................................................................

Itulah cerita tekong bot yang majoriti daripada kita mengalaminya. Ada yang terlampau bagus , bagus dan teruk!

Lainkali jika ingin ke laut siasat betul-betul siapa tekongnya dan guane kerenahnya. Jika tidak al-kumpaulah jawabnya.

Ole-ole Kuala Rompin

Barangkali ramai yang telah mengenali Rompin sebagai lubuk spesis berparuh, layaran tapi masih ramai yang belum mengetahui yang kualanya juga kaya dengan spesis VIP seperti Jenahak , Siakap , Temerih dan sebagainya.

Akibat musim monsun yang seakan berpanjangan saya sendiri yang tinggal hanya 45 minit perjalanan darinya tidak berkesempatan untuk menziarahinya.

Kesempatan yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba beberapa hari yang lalu. Saya bersama Pok Su Din memulakan misi yang telah dirancang seminggu sebelumnya. Kami bertolak dari Muadzam jam 8 malam ke Kuala Sungai Merchong , destinasi awal memanaskan badan sebelum Ke Kuala Rompin. Tujuannya menduga Siakap di sini diwaktu malam dengan kaedah casting.

Hujan renyai-renyai mengiringi perjalanan kami seakan memberikan gambaran awal apa yang berlaku seterusnya. Sesampai di sana hujan semakin lebat sementara air sungai di kuala surut ke tahap maksimum akibat air pasang besar bulan penuh. Bulan yang samar-samar ditutupi awan hitam membuatkan peratus untuk menaikkan siakap pada malam ini semakin menurun.


Akhirnya kami hanya mampu berkhemah dalam kereta pada malam tersebut akibat hujan yang berterusan hingga ke pagi.

Sesudah subuh di awal pagi dan bersarapan kopi radix vs roti kami memulakan acara yang tergendala semalam. Cuaca cerah dan beburung berkicauan menceriakan hari kami, Kebetulan air menyorong pasang dan balingan demi balingan yang di buat akhirnya membuahkan hasil apabila Pok Su berjaya menaikkan Siakap Putih seawal pagi lagi. Boleh tahan , anggarannya sekilo lebih.

Rabut

Menurut Pok Su sebelum itu mata kailnya di sambar seekor siakap yang lebih besar tapi rabut! Mata kail 2.0 yang digunakannya diluahkan dengan selamba oleh raja muara tersebut. Tapi sayang waktu itu saya terlalu sibuk dengan maggi jenama sufix! Ha..ha.. Hampir 1 jam saya habiskan untuk membetulkan tali tersebut dan benar-benar menguji kesabaran di saat ikan membaham umpan dan gewang. Akibatnya saya terlepas 'masa keemasan' sewaktu air menyorong pasang walaupun keep hustle selepas itu.

Rompin

Kami kemudiannya bertolak pula ke Kuala Rompin. Seorang lagi team members akan menyertai kami di sana untuk test market di kuala dengan menaiki sampan fiber. Seperti dijanjikan sebaik sahaja kami tiba di simpang Leban Condong Ustaz Joe pun sampai. On Time!.

Berbekalkan umpan udang hidup dan bot fiber 14 kaki kami bertiga tidak membuang masa. Suasana di Kuala telahpun meriah dengan kehadiran ramai pelancong dan pemancing. Di tepi batu dan di atas jeti di penuhi kaki pancing yang datang dari dekat dan jauh. Saya sempat bertemu dengan slah seorang pemancing dari Triang , Pahang. Wow!! Beliau bermotosikal lebih 100km hanya untuk memancing di sini. Nampaknya cerita kemashuran Kula Rompin sudah mula tersebar ke merata.

Sementara di sepanjang batu pemecah ombak dipenuhi oleh joran-joran pemancing yang kebanyakan dari luar mencuba nasib di sini.

Kelihatan sebuah tongkang kren piling besar sedang ditarik keluar dari kuala oleh bot tunda dan laluannya hanya muat-muat kuala yang tidak sebesar mana.Kelihatan juga kerja-kerja pembinaan benteng di muka kuala seakan terhenti berdasarkan perkembangan yang tidak sebanyak mana berbanding kunjungan terakhir kami beberapa bulan dahulu. Tujuan pembinaannya difahamkan untuk mendalamkan lagi kuala yang semakin hari semakin tohor oleh mendapan pasir dari laut.

srike


Kami mengambil tempat berhampiran boya hijau di tengah kuala. Tidak lama setelah masing-masing melabuhkan umpan udang hidup kemeriahan pun bermula. Saya mula-mula mendapat strike apabila kekili shimano saya berdesit di tarik ikan. Lariannya agak ganas dan kudratnya boleh tahan. Akhirnya saya menaikkan seekor Jenahak anggaran sekilo lebih! Selepas itu giliran Gemang ( Sembilang mega ) kemudiaanya kerapu. Semuanya dalam sekilo lebih.

Pok Su tidak ketinggalan menaikkan seeokor pari bintik seberat 5 kilo. Joran ofmer 7-20lb nya melengkung u di asak si pari. Hampir 15 minit digunakan untuk menaikkan pari tersebut ke bot. Sementara Us Joe mendapat strike dari Temerih yang menelan habis seekor umpan udangnya. Temerih seberat sekilo lebih bukanlah lawan kekili cardinal dan joran le maxnya. Kebiasaannya Temerih ikan yang bergerak secara berkumpulan. Jika seekor berjaya di naikkan peluang untuk menaikkan ahli kumpulan yang lain juga cerah tapi memandangkan arus yang mulai surut dengan laju kami mengambil keputusan untuk berpindah. Batu ladungpun sudah seakan menjadi layang-layang.

Sehingga ke petang kami berjaya menaikkan pelbagai spesis ikan. Kebanyakan bot-bot yang turun pada hari tersebut berpesta ikan. Jenahak , Temerih , kuku , Gemang , Tetanda , Gerut-gerut dan pari tidak henti-henti menjamah umpan sehinggalah air benar-benar surut di waktu senja.

Akibat kehabisan umpan hidup kami mengmbil keputusan untuk mengakhiri trip kali ini lebih awal. Tak Apa esok masih ada.

Timing


Bukan setiap hari ikan di Kuala Rompin frenzy untuk menjamah umpan. Faktor pasang-surut , kekeruhan air dan perubahan musim monsun benar-benar mempengaruhi trend pemakanannya di sini. Jika airnya berpenor (berkilat) atau terlampau keruh janganlah di harap sangat hasil yang lumayan.

Satu lagi faktor yang harus difikirkan oleh pemancing untuk bermain di sini ialah terpaksa berkongsi padang pancing dengan laluan bot yang keluar-masuk. Alurnya yang agak sempit dan cetek membuatkan yang berpengalaman sahaja yang tahu di mana untuk berlabuh dengan selamat.

Memang sudah ada kerja-kerja untuk mendalamkan dasarnya tapi kelihatan kurang berkesan jika tidak disiapkan benteng di muka kuala. Barangkali tidak mustahil jika kena dengan perancangan yang baik Kuala ini boleh hidup dengan kunjungan pelancong domestik dan kaki-kaki pancing!



Gambar trip terbaru


Pok Su dengan Kuku



Depu...Awas bisanya boleh membunuh!!



Temerih


Kerapu beb!



Gemang




Jenahak



Siakap Merchong!



Gotong-royong menurunkan bot



Jeti Kg Pantai Bernas , Kuala Rompin



Survival...aktiviti luar yang menjadi kegemaran



Maggi...tapi makan dengan tangan bukan dengan pisau



Pari bintik

Halangan dan masalah

Sekarang majoriti kaki pancing tidak ada masalah untuk melepaskan gian masing-masing. Jika tidak boleh ke laut , ke sungai , tasik mahupun paya pun boleh. Pendek kata sebut sahaja ingin memancing dengan sedikit usaha sudah boleh berjaya.


Definisi


Berjaya memancing tidak semestinya mendapat ikan ataupun memperolehi hasil. Apatahlagi jika mengharap hasil yang bagak dan mega. Bagi saya memancing sudah dikira berjaya jika sampai ke tempat di tuju dan boleh melemparkan pancing. Itu definisi memancing bagi saya. Ada satu rasa kepuasan dalam diri jika ianya terlaksana. Dapat atau tidak ikan itu perkara kedua. Ianya banyak bergantung kepada persediaan awal seperti umpan , keadaan air , cuaca , arus dan sebagainya. Begitu juga pengaruh 'skil' atau kecekapan individu menjadi nilai tambah yang besar. Alatan yang sesuai turut mempe garuhi walaupun tidak sepenting skil tadi.

Ketentuan

Dan bagi kita yang beragama Islam , ketentuan Qada' dan Qadar Allah menjadi penentu setelah cukup usaha dan ikhtiar. Pernah saya ke laut bersama sekumpulan pemancing yang tidak berpuashati dengan hasil tangkapan dan menyalahkan tekong semata-mata. Saya yang menganjurkan trip tersebut terkebil-kebil mati kata-kata apabila perkatra ini berlaku. Takkanlah tekong yang kerjanya cari makan begitu ingin menutup periuk nasi sendiri. Tapi memang ada jenis tekong yang culas dan malas ( tapi tidak tekong trip ini ). Labuh sahaja sauh merekapun cari tempat tidur. Alasannya mengantuk kerana trip yang terlampau banyak. Bila berjumpa tekong sebegini alamat itulah kali terakhir para pemancing turun bersamanya. Tak apalah kita cerita pasal kerenah tekong ni di masa depan.

kawan-kawan

Masalah utama dalam memancing ialah apabila member sepancingan tidak menepati janji dan masa. Trip dah di atur berminggu tapi sampai masanya melengung! Tarik diri dengan bermacam alasan. Penganjur jugak yang tersepit. Bot dah tempah, persediaan sudah di buat dan boleh jadi deposit dah bayar. Jika terjadi begini siapakah yang perlu bertanggungjawab? Penganjur jika berduit tak apelah. Boleh cover sikit-sikit sorang dan meneruskan trip tapi jika time sengkek camne? Saya fikir kebanyakan group pancing pernah mengalami masalah ini. Kawan-kawan. Tapi seronok jugak rasanya menghadapi kerenah dan dugaan hanya untuk melemparkan sebiji batu ke laut. Apabila masalah berjaya diatasi tersenyum panjang di atas bot dan kenikmatan yang hadir sukar untuk dijelaskan...!

ha...ha..gua kaki pancing!!!


Menanti hujan reda

Cuaca benar-benar sukar diramal sekarang. Kejap panas terik kejap hujan berderap. Aktiviti ke sungai dan tasik asyik berubah masa dengan perjalanan alam yang menjadi petunjuk.

Masa yang ada saya gunakan untuk menservis perkakasan pancing dan 'check list' alatan. Masih banyak ruang yang kosong dalam kotak pancing yang perlu di penuhkan sekadar perlu. Bagi yang berbudget besar barangkali itu perkara kecil tapi bagi mereka yang seperti saya perlulah ada perancangan yang teratur untuk membeli aksesori pancing.

Mana yang perlu didahulukan perlu didahulukan. Maklumlah sebiji gewang rapala yang agak baik sekarang kurang-kurang RM30.Itu belum lagi mengintai sp atau spoon!

Saya kagum dengan sahabat-sahabat yang menjadikan casting sebagai teknik utama memancing. Kesungguhan mereka mengumpulkan aksesori dan alatan yang sesuai kadang-kadang lebih halus dan teliti berbanding kaki bottom. Seni pancing agaknya.

Mereka boleh berhabis ribuan ringgit untuk mendapatkan satu set joran dan kekili yang terbaik. Begitu juga dengan lure dan gewangnya. Pelbagai warna , saiz dan jenama. Serius dan bergaya! bagus!

Kebanyakan mereka adalah PRO dan punya kontek seluruh negara.

Saya lebih berminat kaedah bottom berbanding casting walaupun saya pengamal keduanya. Cuma akhir-akhir ini dengan 'demam casting' yang entah muncul dari mana membuatkan kaedah lama seakan makin dilupakan. Para beginner caster muncul bak cendawan lepas hujan dan mewujudkan suasana meriah dalam bidang ini.

Sabtu : Cadangnya akan ke Kuala. Mengintai siakap...hi..hi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 jemuduk.blogspot.com |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.

Share |