'Projek' di lokasi Pancing

Pena pengarang : Cerita muda-mudi sekarang!

Semalam saya bersama rakan yang lain kembara ke Batu Hitam. Tapi Atan Jaip dan Syed De tidak turut serta. Sebaliknya mereka ke satu lokasi berhampiran Bukit Ibam yang tidak kurang hebatnya.

Kami bertemu disebelah petangnya selesai xpdc masing-masing.

" Amacam , dapat Haruan?" Tanya saya pada Atan.
"Ada la dua ekor juvana...tapi tadi koi jumpa orang buat projek di tepi sungai"
.."Hah!! projek apa pulak?" tanya saya terkejut.
"Sepasang kekasih memadu-kasih di dalam kereta dekat tempat kawan nak mancing , koi sampai-sampai jer siap kelam-kabut lagi mereka mengemaskan pakaian masing-masing"
"huh...Awok nampak tak?" tanya saya. " Nampak jugak toot budak pompuan tu sikit tapi cepat-cepat koi tutup mata"..hi...hi...amik gambo?...kurang asam ko!!!! "Dah tu?". Sempat jugak koi ceramah sikit kat diorang dan halau mereka balik"...hmmmm

Begitulah ceritanya lebih-kurang ceritanya semalam. Tapi yang mendukacitakan sekarang muda-mudi kebanyakannya tidak memilih tempat untuk membuat kerja-kerja maksiat. Depan orang belakang orang depa dok pulun semacam.

Macam cerita di atas , nasib baik terserempak dengan Atan Jaip yang memang terkenal sivik dan alim tu. Berani jugak dia menegur kemungkaran yang berlaku di depan mata. Kalau orang lain? Berani?

Saya teringat maksud hadis yang antaranya menyuruh kita mencegah kemungkaran yang berlaku di hdapan kita. Jika tidak mampu dengan tangan gunakan lidah. Jika tidak mampu@segan@tak berani dengan lidah bencilah dalam hati pada kerja mungkar itu dan itulah selemah-lemah iman.

Kita para pemancing , adakah kita ambil berat kepada apa yang berlaku di persekitaran kita atau cukup sekadar dapat tempat untuk membaling pancing? Cukupkah? Dalam perkembangan masalah sosial yang majoritinya melibatkan anak bangsa dan seagama dengan kita adakah kita meluangkan sedikit masa , tenaga dan wang ringgit untuk memperbetulkannya?

Kita boleh berbelanja ratusan malah ribuan ringgit untuk set pancing yang mahal tapi berapakah jumlah yang kita sumbangkan ke tabung masjid/surau untuk majlis ilmu atau kepada pihak yang membuat kerja-kerja amar-makruf nahy-mungkar?

Kita pemancing tegar! Takpe la. Tapi biarlah selain memancing kita juga berbuat kebaikan yang maksima untuk agama , ummah dan negara selagi kita hidup! Mengapa tidak jadikan hobi ini sebagai Duta Penyelamat dan Kasih-Sayang!


wassalam...29 mac 9.46 malam.


*gambar sumber dari google.


Trip ke Batu Hitam

Hari ini seramai tujuh orang caster tegar dari Muadzam dan Ibam bersatu menduga satu lombong tinggal yang di kenal pasti menjadi kediaman si haruan dan bujuk. Bertindak atas maklumat awal yang diterima baru-baru ini lebih 30 ekor haruan dan bujuk berjaya didaratkan dalam tempoh sehari di spot ini.

Oleh kerana saya terpaksa menghadiri satu mesyuarat pada hari ini maka saya terlepas untuk mengikuti kembara ini dari awal pagi. Namun selesai segala urusan saya bergegas ke Bukit ibam menyertai team anglers yang sedang berehat makan tengahari. " Dapat seekor jer cucu Sebarau pagi tadi"...begitulah sms yang saya terima dari Pok Su ( Forumer Anoklicoh di DNA ) apabila saya menyiasat wal-hasil mereka di sebelah pagi. Rupanya mereka ke spot lain di sebelah pagi dan petang ni barulah ke destinasi 'juicy' tersebut.

Dengan Sha bersama Joran Panjang , Bandang dan Anoklicoh bertolah dahulu setengah jam kemudian barulah saya bersama brader Zul RC dan Ikhwan Ganu menyusul. Sesampai saja kami di sana kelihatan para caster sedang sibuk melempar gewang. Ada yang menggunakan Rapala , Katak Plastik dan spoon. Saya memilih untuk menggunakan spoon kerana tempoh percubaan 'cooper bite' saya masih masih berjalan.
Hampir keseluruhan bekas lombong yang saujana mata memandang itu kami jelajahi. Brader Zul RC ( Roadcare daaa!!) yang terlebih dahulu menaikkan hasil. Haruan sebesar lengan budak tidak melepaskan peluang menghentam katak tiruannya. Kerana saiznya yang kecil tidaklah menjadi masalah untuk menaikkannya walaupun berhampiran reba dan tunggul kayu.

Sebentar kemudian dia sekali lagi mendapat strike di tempat yang sama. Kali ini haruan yang agak besar. Fuhh!! Ini sudah kira bagus walaupun pada awalnya penghuni lombong ini seakan tidak berminat dengan kehadiran kami.

Masing-masing meredah semak-samun mencari port yang menjadi. Saya lihat Panjang yang pada awalnya duduk di bawah cerun berhampiran pokok resam aktif mencari port haruan menjamu selera di petang hari. Sementara Bandang meredah hutan untuk ke lokasi tasik paling hujung bersama Pok Su.

Masing-masing sibuk dengan 'kerja' masing-masing. Entah apa yang difikirkan dalam kepala masing-masing tak tahulah. Sambil rokok berasap di mulutpun tidak berhenti membaling gewang. Itulah gayanya kaki pancing.

Setelah hampir maghrib barulah masing-masing menampakkan diri bersama laporan masing-masing. Brader Zul dapat empat ekor haruan , Bandang dapat dua dan Joran Panjang satu. Yang lain??? Kumpau..hi..hii.. Takpe asalkan dapat memancing.

Pemerhatian saya : stok ikan haruan di sini tidaklah sebanyak mana. Barangkali beberapa minggu yang lepas tempat ini masih 'virgin' sebab itulah mereka beroleh hasil yang banyak. Tambahan pula umpan katak hidup agaknya lebih menggiurkan si haruan berbanding besi dan katak plastik(?).

Apapun kami berpuas-hati dengan trip sehari ini...!

Tinggalan si Gajah...nasib baik tak jumpa dengan empunya badan!



Menebas semak-samun untuk ke port pilihan



Tempat yang amat cantik...Joran Panjang tidak bertangguh lagi



Anoklicoh...dapat sebarau juvana sebelah pagi dan selamat dilepaskan semula



Brader Zul dengan haruan keempatnya...



Tertipu dengan seketul plastik!!!



Promo

Ikatan FG



Sudah menjadi lumrah bagi penggemar acara casting dan pemancing tegar membuat ikatan ini. Ini adalah salah satu ikatan popular untuk menyambungkan shock-leader dan tali sulam.

Kelebihannya , buku pada penyambungan tidak akan tersangkut pada cincin joran sewaktu membuat lontaran. Maklumlah kalau casting mau beratus kali lontar wehh!! Kalau asyik sangkut mau angin satu badan.

Kelebihan yang lain ialah ianya sangat kuat dan mampu menyelamatkan tali sulam yang halus dari putus. Saya dulupun tidak berapa percaya akan kekuatannya tapi setelah mengaplikasikannya di padang pancing ternyata tanggapan saya meleset. Memang boleh dipraktikkan. Lucut atau tercabut?...agak mustahil jika jika di ikat dengan betul. Malah ada sekali gewang saya lekat pada reba , tarik sekuat hati tapi hanya shock-leader yang putus ditengah-tengah. Tali sulam terselamat!

...sayapun buah cempedak di tepi pagar juga..hi..hi..!

Menjejak lubuk Toman siri-3

Beberapa hari yang lalu saya akibat kebosanan yang melampau saya memberanikan diri lone-ranger ke Sungai Juasa yang telah bertahun saya tidak kunjungi. Sungai ini tidaklah sebesar mana cuma selebar 20 kaki gamaknya dan kedudukannya tidaklah jauh dari rumah saya dalam 20 minit perjalanan agaknya. Tempatnya hanya di tepi jalan laterit laluan lori sawit membawa keluar muatan dari ladang yang berdekatan.

Setelah bertahun tidak ke sana akibat sibuk dengan mencari port baru di luar kawasan akhirnya hampir terlupa dekat rumah sendiripun apa kurangnya. Dulu, 2 tahun lalu kami selalu sahaja menaikkan Toman anggaran 5 kilo ke atas di lokasi ini. Hampir saban minggu kami berumpankan ikan talapia dan anak keli menjadikan port ini sebagai lokasi memancing.

Rekod terberat pernah dinaikkan ialah seberat 12 kilo oleh sahabat saya Mukmin yang hanya mengunakan kekili Banax 5000 dan joran Uglystick! Dengan drag yang dikunci hingga 90% kekuatan benar-benar menguji kekuatan jentera dan manusia. Menarik Toman seberat 12 kilo di tempat yang penuh reba dan kayu di dasarnya bukanlah kerja yang mudah.

Siapa cepat di menang! Bukan sekali dua Toman yang menelan umpan membenam di celah reba jika diberikan tali yang berlebihan. Justeru belajar dari pengalaman itulah drag si Banax 5000 yang memang terkenal lasaknya itu digandingkan dengan tali sulam 100lbs dan perambut dawai 60lbs menjadi pilihan.
Duduk memancing berseorangan di tepi sungai ini mengundang 1000 macam kenangan silam yang pernah kami tempuhi di sini. Setelah membaling pancing berumpankan anak keli dan mengetatkan drag 80% saya kembali melamun.

Banyak juga perubahan yang berlaku di sungai ini kebelakangan ini. Sudah ada jambatan konkrit yang menggantikan kalbut sebagai saluran air. Dulu airnya dalam dan berbentuk teluk. Tapi semenjak ada jambatan ini airnya sudah agak surut dan berarus laju. Buktinya pelampung belon yang saya gunakan asyik hanyut ke tepi akibat di hanyutkan arus. Akhirnya saya mengambil inisiatif menggunakan jig 100g yang ada dalam kotak pancing saya sebagai sauh dan ianya terbukti berjaya.

Hari ini airnya agak keruh dan letupan toman langsung tidak kelihatan. Pun begitu saya mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengikat joran Lemax saya sebagai insuran! Mana tahu air keruh jangan sangka toman tak makan.
Rupa-rupanya congakan saya pada awalnya memang menjadi kenyataan. Toman langsung tidak menjengah diri. Bukannya pupus tapi air yang keruh mungkin faktor penyebabnya. Keli yang saya lemparkan satu jam lamanya masih bergedik-gedik tanpa ada pelagik yang ingin membahamnya.

"Tak mengapa" bisik dalam hati saya. Itulah namanya 'dewasa dengan pengalaman'. Trip kumpau sudah lumrah si pemancing. Yang pentingnya "memancing" ikannya nombor dua!. Sekurang-kurangnya terubat gian dan rindu untuk memancing di sini.

Joran Lemax tiger dipadankan dengan Banax sx 5000. Pada awalnya terlupa untuk diikat.
Nasib baik tak melayang menjadi tukun



Jarang Toman yang dinaikkan sewaktu air keruh sebegini. Toman di sini gemar air yang agak kehitaman dan jernih!

Ujian lapangan

Kebetulan hari ini kerjapun tak banyak. Jadi dalam perjalanan balik dari tempat kerja sempat juga saya menjalankan ujikaji pada gewang spoon yang baru saya buat. Tempat yang menjadi pilihan adalah satu reba di sungai yang menjadi spot Sebarau yang agak top di sini sedikit masa dulu.

Menurut rekod tangkapan sebarau yang lepas-lepas di sini saja sudah puluhan ekor sebarau yang berjaya didaratkan. Dari sebesar tapak tangan hinggalah dua kilo lebih sudah menjadi kebiasaan bagi pemburu sebarau.

Saya fikir di sinilah padang terbaik untuk saya menguji spoon 'cooper bite' ini. Sayangnya setelah berpuluh kali lontaran dibuat ke beberapa reba dan batang kayu yang merintangi sungai masih jua tidak ada sambaran.Malah bunyi letupan sebarau mengejar anak-anak ikan juga tidak kedengaran. Aneh!. Adakah ini berkaitan dengan aktiviti penubaan yang berlaku di hulu sungai ini beberapa minggu yang lalu?Menurut kaki caster yang saya temui kebelakangan inipun berpendapat begitu. Seakan populasi sebarau hampir pupus di sini. It's Shame! Sayang seribu kali sayang. Sungai sekecil inipun mengalami tekanan yang hebat dari aktiviti manusia.

Akhirnya saya mengambil keputusan untuk menguji spoon harapan saya ini di tempat yang lain. Kalau nak buat ujian potensi gewang kenalah cari tempat yang terbukti ada ikannya. Kalau dah senyap sunyi gini hampeh jer ler!!!

Adiosss!



Spot yang cantik tapi kekurangan stok ikan agaknya!!



Tidak cantik...tapi saya bukan sendiri, hentam sajalah!

Umpan ikan air tawar

Sedang asyik pekena Nes ais setelah penat mengcasting tetiba seekor makhluk Allah ini hinggap di meja saya. Ingatkan tebuan rupanya anak kerengga. Inilah kata orang `kecil jadi kawan, besar jadi lawan'!

Ya lah masa kecik dan bersayap ni jenuh kaki pancing mencarinya untuk umpan lais dan baung. Pada saya penggunaan anak kerengga sebagai umpan memancing lais lebih praktikal berbanding cengkerik dan ulat-ulat lain.

Lemak atau protein yang terdapat di perutnya itu membuatkan lais pantang berjumpa dengan umpan ini. Sebab itulah saya selalu berjaya mendapatkan ikan lais selebar tapak tangan orang dewasa dengan umpan ini.

Tapi anak kerengga je le...jangan sampai bapak kerengga pun angkut, nanti dapat penyakit!.

Mengintai Siakap Kuala Merchong!

Setelah puas dan jenuh bermain dengan toman dan sebarau semalam saya bersama Ikhwan , Sha dan Fendi mengambil keputusan untuk menduga lubuk siakap pula. Kali ini kami ke Kuala Merchong. Destinasi wajib penggemar kaki casting yang mengidam aksi tarik-tali bersama spesis pelagik ini.

Kami sampai ke destinasi sewaktu air baru sahaja menyonsong surut. Semangat yang berkobar-kobar dari pagi seakan hampir pudar memandangkan paras air yang terlampau surut bukanlah padang siakap mengintai anak-anak ikan sebagai mangsa. Pun begitu sepeti kata pepatah " perahu sudahpun di air, layar sudahpun dinaikkan" mahu tidak mahu kami cuba juga menduga di beberapa spot yang cantik.

Dalam masing-masing asyik melempar pelbagai jenis gewang tiba-tiba joran Sha mendapat strike yang agak ganas. Dengan sedikit kemahiran beliau akkhirnya berjaya mendaratkan Siakap Merah anggaran 400 gram! Dalam kesibukan sessi bergambar Ikhwan pula yang mendapat strike. Kali ini Siakap merah juga tapi lebih kecil.

Melihatkan keadaan yang seakan frenzy masing-masing sibuk melempar gewang dan membuat pelbagai eksperimen. Ada yang menggunakan Rapala, Spoon dan Soft plastic! Tapi rupanya sehingga ke matahari hampir tenggelam itu sahajalah siakap yang memunculkan diri.

Tidak ada bunyinya menangkap anak-anak ikan walaupun sewaktu air menyorong pasang. Akhirnya kami mengambil keputusan untuk mengundurkan diri hari ini dan masing-masing seakan belum berpuashati umpama ada dendam yang belum terlunas! Tak pe la lainkali kita pergi lagi.


Sha dengan Siakap pertamanya



Ikhwan...seronoknya menaikkan Siakap!

Demam casting!

Kebanyakan team kaki pancing di Rompin sekarang ini demam!..Demam Casting daa!! Baik ke Kuala ,ke sungai mahupun ke tasik atau paya acara casting tidak miss. Yang bestnya kaki bottom boleh kaki casting boleh joint memancing sekali. Semua kawan-kawan. Siakap , Sebarau dan Toman menjadi pilihan utama.

Mana yang belum melengkapkan barangan yang perlu to be a good caster sedang asyik mengintai di kedai-kedai pancing untuk memenuhkan kotak pancing. Yang tak bestnye harga barangan untuk casting agak mahal! Jadi yang ingin berjinak-jinak dengan teknik ini perlulah bijak menguruskan keperluan yang perlu didahulukan! Yang penting boleh layan ikan beb!

Kaki bottom? Acapkali pula mengintai ke Kuala. Sambil layan merendam umpan sempat jugak bertanyakan keadaan laut kepada para nelayan tempatan. Memang sudah ada bot yang membawa anglers ke laut tapi belum meriah kerana keadaan angin yang masih berbaki. Jika keluar dengan bot besar ok le tapi jika ingin pakai enjin sangkut dan bot fiber cam biasa kena berjudi nasib le!

Apapun pancing tetap pancing. Tidak ke laut, sungai pun boleh!!!

Ikhwan...asal dari Nganu...sekali-sekala balik nganu ramai pulak member kirim beli gewang! Di kedai kopipun boleh urusniaga.



Antara gewang yang dipertaruhkan. Kadang-kadang sampai kelabu mata untuk memilih gewang yang menjadi favourite si ikan!



Bandang!!...Antara kaki caster yang aktif di Rompin. Sebut sahaja mana lubuk yang belum dijelajahinya!

Menjejak Lubuk siri 2

Selain menjadi lokasi terkenal dengan ikan Layaran dan Udang Galah Rompin juga tidak kurang hebatnya dengan spesis ganas ikan air tawar. Toman , Haruan , Sebarau , Patin dan Tapah menjadi kegilaan bagi penduduk di sini apatah lagi kaki pancing casting dan bottom.

Ahad yang lalu saya bersama beberapa kaki pancing lain termasuk Bandang , Gemuk , Anoklicoh , Man Jcb dan Udin berkelana di sekitar Rompin menjejak lubuk Toman yang sememangnya terkenal di sini. Lokasinya adalah sekitar Kampung Astajam dan Pianggu. Pada trip tersebut kami berjaya menaikkan beberapa ekor Toman dan Baung.

Pada petang tadi pula sempat saya bersama Sha , De dan Bandang casting untuk Toman dan Sebarau di Bukit Ibam. Sayang seribu kali sayang aras air yang terlampau surut membuatkan sambaran Sebarau langsung tidak kelihatan.

Hanya Sha dan De yang menerima sambaran Haruan tapi rabut. Tapi sudah resmi kaki pancing tewas sehari tidak bererti tewas selamanya. Esok kami akan menjejak lubuk yang lain pula.


De



Sha



Bandang



Lubuk juicy tapi rabut!



Menjejak lubuk Toman

11 malam 7 Mac - Baru sampai di rumah setelah beraksi di lokasi pancing sepanjang hari. Penat dan mengantuk menghambat diri. Pun begitu saya post kan di sini beberapa aksi menarik pada hari ini.

Sempat shopping tembikai sebagai bekalan



Bekalan umpan udang hidup. Asalnya untuk Siakap tapi habis semasa sessi memancing Toman


Pro-caster...Bandang



Man JCB dan Udin. Gandingan adik-beradik menaikkan Toman pertama hari ini


Joran Panjang ( forumer MFN ) turut serta tapi fokus pada Belida dengan rakan-rakannya


Air tenang jangan sangka tiada toman



Man dengan toman kecik! Agaknya death on first mission!



Bandang mempamerkan toman penutup tirai

Tukar template baru

Ahlan wa sahlan kepada pengunjung blog jemuduk. Akhirnya setelah lebih setahun rasanya blogger Jemohid berblogger inilah pertama kali saya menukar template! Mungkin sudah jemu menatap paparan yang sama dan tiba masanya kita bereksperimen dengan penampilan yang baru.
Terima kasih kepada engineer cahaya biru yang bijak mereka template dengan gaya yang menarik.


Fikiran kaki pancing : minda pengarang

Saya mendapat respon yang amat baik berkenaan apa yang saya tulis di sini berkenaan aktiviti menuba yang lebih banyak mendatangkan kerosakan berbanding faedahnya. Ramai di kalangan kita yang sedar perkara ini berlaku tapi tidak mampu berbuat apa-apa kerana kuasa yang terbatas dan maklumat yang tidak tepat.

Barangkali satu mekanisma mesti diwujudkan untuk membendung gejala kurang sihat ini. Bukan setakat tuba malah karan , bom , pemasangan Ambai , mengempang sungai dan mana-mana kaedah yang mendatangkan ancaman besar kepada spesis marin mesti di hentikan. Mengaut keuntungan sekelip mata dari sumber yang terhad hanya akan mendatangkan penyesalan berpanjangan kepada angota masyarakat. Sampai bila sungai yang hanya beberapa kaki lebarnya mampu menyediakan habitat yang baik untuk hidupan jika asyik diancam tangan jahat manusia?

Justeru masih belum terlambat untuk memupuk kesedaran kepada masyarakat dan melaksanakan peraturan yang lebih berkesan untuk menjamin ke'survival'an sungai dan segala isinya.


Apabila manusia sudah terlampau bodoh!

Sungai Aur , Sungai Jeram dan Sungai Buluh Nipis merupakan antara jalinan sungai yang masih bertahan dengan spesis ikan yang pelbagai walaupun di asak hebat dengan pembukaan ladang-ladang sawit , pembalakan mahupun perlombongan bijih di sekitar Bukit Ibam.

Dari perut sungai inilah penduduk sekitar Ibam dan Aur mendapatkan bekalan ikan air tawar sementelah ramai yang menggemarinya.

Kali terakhir saya berkunjung ke situ ialah pada awal januari yang lalu bersama Sha , memancing baung dan mengilat sebarau. Waktu itu musim monsun baru saja berakhir dan ikan-ikan begitu banyak sekali selepas musim bertelur. Bertambah pula dengan keadaan fizikalnya yang bereba dan berjeram menjadikannya padang pancing istemewa bagi kaki-kaki pancing yang mengetahui lokasinya. Sebarau , Baung , Lais , Lampam dan sebagainya kembali memenuhi habitatnya seakan sinar untuk sungai-sungai ini 'sihat' terbuka luas!

Tapi berita yang saya terima petang tadi benar-benar 'menghangatkan hati'. Seorang sahabat memberitahu " Sungai Jeram dan Buluh Nipis telah di tuba....!! " Cis! Spontan dalam hati saya memprotes laku yang buruk ini. What the hell is this!.

Ada manusia 'bodoh' yang mengambil kesempatan dari aras sungai yang mula menyurut seminggu dua ini untuk mengejar untung! Cuba mendapatkan ikan secara borong dan mudah tanpa memikirkan kesannya kepada eko-sistem dan orang lain.

Akibatnya Sebarau dan Baung sebesar betis orang dewasa berkaparan menjadi pemuas nafsu manusia tidak bertamadun. Apakah mereka menyangka bahawa sungai dan segala isinya ini milik mereka dan mereka boleh mengambilnya semudah menangguk ikan di sangkar peliharaan?

Inilah kelemahan utama di sungai daerah pedalaman ini sejak bertahun-tahun. Tuba , karan , bom dan ambai seakan menjadi kelebihan sesiapa yang pandai. Difahamkan aktiviti-aktiviti sebegini bukanlah kerja orang luar tapi kemungkinan perbuatan masyarakat berdekatan amat tinggi sekali. "Sudah jatuh di timpa tangga" Itulah ibarat yang boleh digambarkan terhadap sungai-sungai di sekitar ini. Dengan tekanan hebat pembangunan , dengan kepupusan spesis yang semakin ketara dan ditambahkan lagi dengan teknik gila sebegini. Barangkali sepuluh tahun lagi sungai ini hanya mampu mengalir lesu dengan lumpur dan sampah tanpa ada seekor ikanpun!

Penguatkuasaan dan undang-undang? Mungkin kedudukannya yang agak di pedalaman penguatkuasaan masih di tahap minima!

Beraya sakanlah mereka yang tamak haloba selama selama dua tiga hari ini. Barangkali dengan hasil yang entah mencecah ratusan (ribuan?) ringgit mereka boleh tersenyum bangga dengan ke'bijak'sanaan mereka. Tidak terfikir di hati mereka agaknya bahawa mereka telah menceroboh khazanah negara dan khianat pada warisan untuk anak-anak cucu mereka. Sepatutnya manusia begini hanya layak duduk di kandang besi!

Kita mengharapkan penguatkuasaan yang lebih kemas dan berkesan demi kelangsungan hidupan di sungai ini. Cukuplah kita mendapat pengajaran dari keadaan yang berlaku di sungai-sungai yang teruk dinodai di negara kita. Sehingga ada pemancing yang sanggup datang puluhan batu kerana di tempat mereka sungai hanya ada air dan lumpur!

Pemantauan dan tanggungjawab setiap anggota masyarakat barangkali mencerahkan harapan agar sungai ini kembali memberikan khazanah berharganya kepada kita. Janganlah kita pula memejamkan mata setiap kali kerja buruk sebegini berlaku di dalam pengetahuan kita .
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 jemuduk.blogspot.com |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.

Share |