Kenduri Cecupak Di Pelantar Minyak

Memancing di Pelantar minyak boleh dikatakan   cita-cita utama kebanyakan kaki pemancing. Selain padang pancing idaman di kepulauan Borneo ,   atau Koh Adang di Thailand mahupun kepulauan Bali dan Komodo di Indonesia  pelantar minyak tempatanlah tempat yang paling dekat untuk menduga lautan dalam. Dengan kos ekonomi sudah berpeluang  untuk bertarung dengan  dengan

spesis bagak yang mampu memedihkan pinggang kaki pancing. Berjaya menewaskan spesis seperti  GT  , kerapu ,  jenahak  atau  ebek  yang  bersaiz `monster’  seakan menjadi nilai tambah kepada  `handicap’ tidak rasmi  di kalangan rakan pancing.

Memang telah lama saya bersama sahabat-sahabat Muadzam Anglers  merancang untuk menjejakkan kaki ke pelantar minyak. Tapi oleh kerana tuntutan kerja  tambahan pula trip ini menuntut keperluan masa yang panjang maka perancangan tersebut terbantut begitu sahaja. Tapi awal Ogos lalu Ikhwan yang selalu berulang-alik dari Muadzam ke Terengganu membawa khabar gembira kepada kami untuk turut serta dalam trip yang di atur oleh abang iparnya. Bagaikan orang mengantuk di sorongkan bantal kami tidak mengambil masa yang panjang untuk menyetujuinya.
Gemuk dan Pok Su Din yang pernah menyertai trip ke pelantar minyak di awal tahun yang lalu turut teruja lantaran trip yang di atur di luar musim itu tidak berapa menjadi. Mengikut pandangan Pok Su yang paling arif berkenaan dengan pancingan di  ‘offshore’  mengatakan bulan oktober dan novemberlah yang paling sesuai ke sana kerana angin monsun baru berputik dan ikan-ikan agak frenzy dengan olakan plankton yang di bawa arus. Pada kami kucah sedikit tidak mengapa asalkan hajat untuk bergasak dengan si bagak menjadi kenyataan.

Maka mengembaralah  kami mengumpulkan keperluan sedikit  demi sedikit membuat persiapan awal untuk  memenuhkan kotak pancing masing-masing.  “ Persediaan mesti rapi dengan jentera yang boleh diyakini jika ingin berkunjung ke padang pancing seperti ini”. Kata Pok Su. “Biar putih tulang jangan putih mata” kata gemuk pula. Sebulan sebelum ke laut kami telah sibuk berkunjung ke kedai-kedai pancing untuk mengumpulkan bahan. Dari Muadzam kami pergi hingga ke Segamat , Gemas , Kuantan malah kadang-kadang  hingga ke Mersing membelek dari satu kedai ke satu kedai walaupun untuk mendapatkan sebatang joran idaman.
Gemuk yang paling meriah dalam membuat persiapan. Dari set bottom hinggalah set popping dan jigging habis diborongnya. Tidak cukup rod Shikari dan Maguro dibelinya pula rod Xzoga PE 3 dan 4 untuk dipadankan dengan Biomaster 8000 dan Tyrnosnya. Pok Su memilih untuk menggunakan Shimano Tiagra 50W yang terperap dalam simpanannya.
 Perbincangan berkenaan trip sentiasa  mengisi perbualan saban hari setiap kali bertemu di kedai kopi. Segala persiapan termasuk jadual perjalanan , barang makanan dan persediaan umpan di perhalusi bersama seakan inilah ‘trip of the year!’ .
Membilang hari untuk trip ke laut sememangnya mendebarkan , umpama anak kecil yang tidak sabar  menunggu tibanya hari raya lagaknya. Itulah ironisnya jika memancing sudah sebati dalam diri.

Bermain dengan jumlah anggota trip yang tidak tentu sahihnya juga turut mencemaskan , kejap jadi kejap tak jadi , kejap 8 orang kejap 7 orang turut memeningkan kepala penganjur.  Manakan tidak , silap gaya boleh kensel sesuatu trip jika ada yang menarik diri di saat akhir nanti. Akhirnya keputusan muktamad dua minggu sebelum bertolak tinggallah kami enam orang. Saya , Pok Su , Gemuk , Ikwan , Faizal dan Bakri. Kami berempat akan bertolak dari Muadzam sementara  Faizal dan Bakri akan  terus memandu  dari Kuala Lumpur  dan menginap di rumah keluarga Ikhwan di Kuala Terengganu sehari sebelum ke laut. Sengaja kami bertolak sehari lebih awal kerana tidak mahu tergopoh-gapah dan kepenatan di laut .

Agaknya memang sudah menjadi rezeki kami ke pelantar minyak sehingga ke tarikh bertolak perancangan terus  mengikut jadual tanpa ada sebarang masalah.
Awal subuh lagi kami sudah bertolak dari rumah Ikhwan untuk mencari umpan segar di pasar borong dan bersarapan. Kami sampai di Pengkalan Keropok Losong tepat jam 8.30 pagi seperti yang dijanjikan bersama tekong. “ Bukan main tepat masanya kalau pergi memancing! ” tersenyum saya apabila teringatkan  kata-kata isteri saya sewaktu saya tergopoh-gapah mengemas peralatan  pada malam sebelum bertolak ke Terengganu. Ha..ha. Mana tidaknya kadang-kadang nak bawa keluarga bersiar-siarpun miss memanjang janjinya.

Naik sahaja ke bot rindu pada laut dan ombak seakan terlerai. Hati tersenyum puas setelah keinginan yang selama ini bakal terlunas. Bot yang digerakkan oleh enjin mitsubishi Pak Awang  seakan terlalu perlahan sehingga masing-masing resah menunggu detik melempar umpan ke dasar laut. Set pancing yang masih berbungkus rapi masih tidak diusik memandangkan masa perjalanan yang masih panjang. Masa lebih banyak dihabiskan dengan berbual cerita pancing , makan dan tidur. Hanya Gemuk dan Pok Su yang mencuba teknik trolling dengan set monster masing-masing. Gemuk dengan Tyrnos 30 yang di padankan dengan rod xzoga PE4 sementara Pok Su dengan Shimano Tiagra 50W yang dipasanglkan dengan Shimano Triton 70 paunnya. Lama setelah jenuh menunggu barulah Tyrnos milik Gemuk menjerit hebat. Bot diberhentikan bagi memberi laluan kepada Gemuk melayan ‘monster’ yang barangkali menjadi juadah tengahari kami pada hari itu namun malangnya yang tertangkap hanyalah gumpalan rumpai laut yang hanyut di bawa arus. Melepaslah jawabnya hasrat  kami untuk merasa singgam Tenggiri sebaliknya ikan tongkol untuk di buat umpan yang menjadi mangsa!
Setelah menempuhi perjalanan selama 8 jam Pak Awang memberhentikan bot dan terus menurunkan sauh. Yang lucunya dalam keadaan terpisat-pisat baru bangun dari tidur ada rakan yang terus menjenguk ke luar kabin mencari Pelantar minyak! Ha..ha. Maklumlah inilah pengalaman pertama kebanyakan kami  untuk melihat sendiri  keajaiban teknologi manusia menegakkan  struktur mega di lautan dalam. Rupanya kami baru sampai tiga suku perjalanan sahaja. Untuk ke Pelantar minyak masih berbaki enam jam perjalanan kata Pak Awang. Memandangkan hari sudah senja beliau memutuskan untuk bermalam di sini dan akan meneruskan perjalanan keesokan paginya.
 Lokasi ini menurut tekong ialah perkuburan kapal perang dunia ke 2. Menurutnya lagi disini pernah mencatat rekod  tangkapan ebek , jenahak dan kerapu yang bagak-bagak. Mendengar taklimat ringkasnya itu maka berlumba-lumbalah batu ladung terjun ke dasar. Arus agak deras dan batu ladung nombor 11 yang saya gunakan hanya sampai ke dasar apabila tali mono Lemax dalam gelendung Penn 321 saya tinggal separuh sedangkan anggaran kedalaman air hanya 60 meter.
Tidak sampai 10 minit joran Pok Nasir,  pembantu tekong yang menjadi tukang masak kami melendut hebat di asak penghuni kapal karam. Beliau dengan tenang  menaikkan ibu kerisi seberat 3 kilogram. “Wah! Ini sudah cantik!”,sorak kami.

Pakej lengkap!
 Rupanya keterujaan  kami tidak mampu menghalang kehendak tuhan. Menjelang maghrib langit yang tadinya terang-benderang mula  ditutupi awan hitam petanda hujan  bakal tiba. Kilat dan petir mula sabung-menyabung  sementara gelombang mula meninggi. Hati mula tidak enak dengan keadaan yang berlaku seolah-olah ribut dahsyat di laut Bering yang sering di tontoni dalam siri Deadliest catch di saluran Discovery bakal di rasai sendiri. Jika berhampiran pulau ada juga tempat yang boleh dituju tapi ini di lautan lepas bro! Mana ada tempat nak berlindung , mahu tak mahu hadapi aje le!. Selepas isya’ apa yang dibimbangi mula menjadi kenyataan. Umpama mendapat pakej lengkap dengan hujan lebat , ribut-petir  disertai angin kencang dan gelombang besar. Bot selebar 10 kaki dan lebih 40 kaki panjang itu di uji hebat pada malam itu sementara kami  memenuhkan kabin berhimpit-himpitan.ha..ha. Mana ahli yang tadinya sekadar mual-mual mula menumpahkan laharnya. Akhirnya  pada malam itu langsung tidak ada peluang untuk memancing.

Hari kedua
Jam 7 pagi keesokannya barulah keadaan kembali tenang. Tekong terus sahaja mengemudikan bot menyambung perjalanan. Menjelang tengahari barulah nampak kepada kami struktur binaan Pelantar Dulang dan gugusannya. Kami akhirnya berlabuh dua jam melepasi pelantar-pelantar tersebut.
Kami pada awalnya menjangkakan tekong akan ke unjam untuk mendapatkan umpan hidup tapi oleh kerana beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan terpaksalah kami menggunakan umpan sotong , anak kembung dan ikan Tongkol yang di beli  sebelum bertolak di pasar borong.
 Masing-masing menggunakan dua set joran. Set multiplier  di ikat kemas pada rod holder untuk mengumpan si monster  sementara set spinning  digunakan untuk pancingan apollo dan jig.  Seekor demi seekor Kerapu , Remong dan ibu kerisi berskala satu hingga tiga kilo dinaikkan. Hanya umpan hirisan  sotong dan ikan  yang digunakan cuma sekali-sekala Gemuk melempar popper dan jig untuk memujuk monster namun tidak ada sambutan. Boiling ikan pun langsung tidak kelihatan.

Turun makan-turun makan
Menjelang senja kami sekali lagi didatangi angin kencang dan laut bergelora. Daripada senja hingga ke tengah malam masa hanya dihabiskan dengan rehat dan tidur.Ribut hari ini tidak kurang hebatnya berbanding semalam. Jam 2 pagi saya yang terlena dikejutkan oleh Pok su.      “ Lekas-lekas ikan tengah galak membaham jig!”. Tanpa perlu di ulang saya bingkas bangun dan mencapai rod Abu Tournemant II yang sudah siap jig white rabbit 100 gram luminos dihujungnya. Di atas lantai bot beberapa ekor cupak bersaiz dua dan empat  kilo berkaparan. Rupanya hanya Gemuk dan Pok Su yang berjaga selepas ribut pada malam itu. Setelah menjerit memanggil rakan-rakan lain saya memulakan aksi jigging. Jig dicaskan seketika kemudian diturunkan ke dasar, belum sempatpun sampai ke dasar sudah terasa ada makhluk yang cuba membaham kepingan besi itu. Unjun sahaja dua-tiga kali terus kekili Banax SX5000 menjerit menahan asakan ikan. Tidak ada larian ke kiri atau kanan cuma menekan ke dasar laut. Tidak lama kemudian barulah seekor Cupak 3 kilogram berjaya dinaikkan.
Cupak  (Horse mackerel)  sungguh frenzy membaham jig. Pantang sahaja jig diturunkan pasti ada yang menelannya. Kadang-kadang hingga tidak ada masa untuk mencas semula jig yang mula pudar cahayanya.Jig hanya perlu di unjun hingga ke pertengahan air , jika sambaran tersasar maka jig diturunkan semula ke dasar. Cara ini lebih menjimatkan masa dan tenaga.
 Keadaan mula gawat di sekeliling bot bot. Masing-masing sibuk melayan henjutan cecupak yang entah beratus ekor berkubu di betul-betul di bawah bot. Gemuk yang sering kehilangan jig akibat cecupak yang terbabas membaham  perambut kejutannya akhirnya kehabisan jig. Nasib baik Faizal membawa stok jig yang banyak terpaksalah meminjam daripadanya.
Mengunjun jig di kedalaman lebih 60 meter bukanlah perkara yang mudah. Menunggu jig sampai ke dasar sudah satu hal dan melayan asakan ikan dengan arus yang agak deras benar-benar meletihkan. Akhirnya seorang-seorang demi seorang yang menggantung joran bukan kerana ikan tidak mahu makan tapi kepenatan yang amat sangat.Bayangkan Gemuk sehingga mampu menggoyang-goyangkan Rod Xzoganya sambil duduk di buritan bot. Itupun di baham cecupak!. Menjelang pagi kesemua jigger yang kepenatan berkaparan tidur dilantai bot.

Hari ketiga
Siang harinya tidak banyak aktiviti yang di lakukan akibat masih mengantuk dan kepenatan. Hanya menjelang tengahari barulah aktiviti pancingan dasar bermula. Seperti  semalam hanya ibu kerisi , remong ,cermin dan kerapu yang dinaikkan. Rata-ratanya bersaiz satu hingga dua kilo sahaja.
Tekong hanya berpindah lokasi menjelang petang ke lokasi cecupak yang semalamnya rakus membaham jig. Tapi malangnya menjelang senja sekali lagi kami didatangi ribut. Kali ini mencetuskan gelombang yang lebih besar berbanding dua malam sebelumnya. Ini sudah kira hatrik! Tiga malam dilanda ribut di laut dalam. Gelombang laut menggunung dari dua ke tiga meter membuatkan bot terumbang-ambing pasrah menerima ujian. Masing-masing hanya mampu berharap agar ribut cepat berlalu. Kalau dah tiga malam berturut-turut bukan setakat kami, undertaker pun boleh tumbang bro!
Hanya dua ekor cecupak bersaiz 4 kg yang sudi menjamah jig pada malam tersebut. Barangkali sudah mula culas akibat mendapat pengajaran pada malam sebelumnya.
Menjelang pagi barulah ribut mula reda. Sempat saya melihat joran pancing dan tong-tong ikan berselerak di atas bot kesan ribut semalam. Seperti lepas perang gayanya. Pukul 8 pagi tekong Pak Awangpun memulakan perjalanan pulang dan sampai semula ke pengkalan bot Losong waktu maghrib.

Walaupun tanpa kelibat monster ,  trip ini bolehlah dikatakan hampir berjaya. Puluhan ekor cecupak , Kerapu , cermin dan ibu kerisi sekurang-kurangnya menjadi ubat merawat kekecewaan itu. Nyata bukanlah setiap trip ke pelantar minyak itu akan membawa hasil yang lumayan dengan rekod monster . Jangan menyangka setiap trip ke pelantar minyak bakal membawa pulangan lumayan dengan tangkapan bertong-tong dengan hasil yang bagak-bagak! Barangkali cuaca dan arus yang tidak kena boleh menjadikan keterujaan pemancing satu kekecewaan. Kami bernasib baik tidak kumpau sepenuhnya walaupun keadaan cuaca agak  mencemaskan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 jemuduk.blogspot.com |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.

Share |